Monday, March 12, 2007

Tangisan Mat Rempit


KUALA LUMPUR: Seorang remaja 16 tahun yang menganggotai dua kumpulan lumba motosikal haram, Apache Sereng dan Benetton, menggigil sebelum menangis ketakutan sejurus ditahan polis trafik di Jalan Raja Laut, di sini, malam kelmarin.
Remaja yang bersikap tamak dengan menganggotai kedua-dua kumpulan lumba haram terbabit serentak, sebelum itu riang gembira bersama rakannya yang lain berlumba motosikal dan melakukan aksi bahaya sebelum menangis sejurus ditahan. Difahamkan, pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Selayang itu menangis sambil merayu dilepaskan tetapi modal air matanya gagal memujuk hati anggota trafik yang memburunya sejak tiga bulan lalu.
Dia dikatakan menganggotai Apache Sereng dan Benetton semata-mata untuk menciplak skil lagak bahaya serta berlumba daripada anggota kedua-dua kumpulan bermusuhan terbabit.
‘Kebijaksanaannya’ menganggotai kedua-dua kumpulan terbabit terdedah selepas polis menemui kad keanggotaan di dalam dompetnya. Dia dikatakan menganggotai Apache Sereng dan Benetton semata-mata untuk menciplak skil lagak bahaya serta berlumba daripada anggota kedua-dua kumpulan bermusuhan terbabit. Sumber polis trafik Kuala Lumpur berkata, remaja terbabit ditahan ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Raja Laut oleh dua anggota polis berpakaian preman yang mengekorinya.
“Remaja terbabit menggunakan skuter dan sering berlumba haram, menunggang dengan satu tayar terangkat selain menyusup di celahan kenderaan bergerak. “Sudah berbulan-bulan polis memburunya tetapi dia dapat melepaskan diri setiap kali kami melakukan operasi. Bagaimanapun, kali ini nasibnya berbeza,” katanya. Rekod polis menunjukkan, remaja terbabit bersama anggota lain kumpulan lumba haram itu sering ‘beraksi’ di sekitar Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka serta Jalan Tunku Abdul Rahman.
Dalam operasi itu, remaja terbabit adalah antara 12 yang ditahan bermula jam 11 malam dan berakhir lima jam kemudian. “Semua yang ditahan berumur 16 hingga 24 tahun dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman esok,” katanya. Mengenai punca remaja sanggup menjadi Mat Rempit, sumber itu berkata, ada kemungkinan ia disebabkan masalah di kalangan ibu bapa mereka sendiri. Katanya, perceraian selain masalah rumah tangga menyebabkan remaja tertekan dan mengalihkan tumpuan menjadi Mat Rempit untuk melupakan masalah.

1 comment:

rancid said...

padan muka.orang pangkah

Related Posts with Thumbnails
Related Posts with Thumbnails